Saturday, November 27, 2010

Debaran Di Saat Kelahiranmu.........

    Debaran Di Saat Kelahiranmu.........


    Tanggal 11 Zulkaedah 1431 (19 Oktober 2010, Selasa), detik jam 2.16 pagi, ku laungkan Azan di cuping telinga kanan dan Iqamat di telinga kirinya. Setelah selesai laungan azan dan iqamat, ku membelek-belek seluruh anggota tubuhnya.....berdebar-debar jantungku di saat itu. Alhamdulillah....anakku dilahirkan sempurna tanpa sebarang cacat-cela. Ya Allah!!! baru ku teringat yang isteriku masih lagi berada dalam dewan bedah. Jantungku kembali berdebar lalu ku bertanya kepada jururawat;
"Bagaimana keadaan isteri saya?"
Jururawat menjawab sambil tersenyum;
"Isteri kamu selamat."
    Aku menadah tangan sambil bibirku melafazkan ucapan Alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana isteriku telah selamat melahirkan cahaya mata yang amat bermakna dalam hidup kami setelah hampir dua tahun melayari bahtera rumahtangga. Kini aku telah bergelar sebagai Abi dan isteriku sebagai Ummi kepada putera kesayangan kami yang diberi nama Ahmad Izzuddin.
    Hmmm...baru ku tahu betapa deritanya seorang ibu berjuang melahirkan seorang insan bergelar anak. Masihku terbayang lagi bagaimana keadaan isteriku ketika sarat mengandung dan menghitung hari untuk melahirkan zuriat kami. Ketika kandungannya mencecah lapan bulan sehinggalah saat kelahiran putera kami, banyak dugaan yang ditempuhinya. Hampir 14 jam isteriku bertarung nyawa dalam dewan bersalin. Sebagai suami, aku hanya mampu berdoa dan menyerah kepada Allah di ruangan menunggu. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaanku ketika itu.
    Setelah sekian lama menunggu, tiba-tiba namaku dipanggil masuk ke dewan bersalin. Doktor memberitahuku dengan kelam kabut bahawa isteriku perlu dibedah dengan segera untuk menyelamatkan anak dan nyawanya. Pada mulanya, hatiku amat berat untuk menerima cadangan doktor tersebut kerana banyak risikonya. Tetapi apakan daya, keadaan isteriku dan denyutan jantung zuriat kami ketika itu amat kritikal. Aku pasrah dan bertawakkal kepada Allah..
    Pejam celik.... Pejam celik......
    Anakku kini sudah sebulan sembilan hari. Geramnya ku melihat tubuhnya yang berketul-ketul... Beratnya sudah mencecah 5.05kg. Isteriku juga akan habis tempoh berpantangnya beberapa hari saja lagi. Kini hidup kami bertambah ceria dan bahagia... Mudah-mudahan kebahagiaa ini diiringi dengan keberkatan Allah s.w.t..
   
 “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” (Surah Ibrahim: 40)




Permata Hati Kami ....=)

No comments:

Post a Comment